Thursday, 18 September 2014

Asal Usul Nama Tempat Bersejarah Negeri Pahang Darul Makmur (siri 3)

Lamir

Lamir ini adalah sebuah kampung yang terbesar dalam mukim Pahang Tua, daerah Pekan. Letaknya di kiri kanan Jalan Pekan-Kuantan, ditebing Sungai Pahang Tua. Kampung Lamir ini dikatakan mendapat namanya demikian dari pokok lamir, sejenis pokok yang kulitnya boleh dibuat tali. 

Selain dari kampung terbesar dalam mukim Pahang Tua ia adalah juga sebuah kampung yang bersejarah. Ini ialah kerana ia pernah menjadi tempat tinggal Bendahara Sewa Raja Tun Ali sehingga hayatnya dalam tahun 1857.

Bila sebenarnya Bendahara Sewa Raja Tun Ali meninggalkan Pulau Maulana dan berpindah ke Lamir tidak diketahui. Tetapi tentu sekali lepas lahirnya Tun Ahmad (Sultan) di Tiang Bendera (Pulau Maulana) 23.5.1836,W.Linehan di dalam Sejarah Pahang, JMBRAS, Vol.XIV, Pt. 11, May 1936 menulis berkenaan dengan perkara ini seperti berikut :-  

"Bendahara Sewa Raja Ali of Pahang died in 1857. Long before his death 
he had retired from active participation in the government of the country, 
and removed his residence to Lamir on the the river Pahang Tua where he 
spent his declining years."

Tiada berapa lama selepas Bendahara Sewa Raja Tun Ali meninggal dunia maka berlakulah pergaduhan yang dikenali sebagai ‘Perang Adik Beradik 1857 – 1863’. Di dalam peperangan itu Tun Ahmad berjaya menewaskan kekandanya Tun Mutahir pada 10 Jun 1863. Dengan kemenangannya itu Tun Ahmad dilantik sebagai Bendahara Sewa Raja. Dia dinasihatkan supaya tinggal di sebelah kanan hilir Sungai Pahang. Sebab itu Bendahara Sewa Raja Tun Ahmad memiliki kuala Sungai Parit, yang dikenali sebagai Pekan Lama. 

Dengan tindakan Bendahara Sewa Raja Tun Ahmad (Sultan Ahmad) ini bukan sahaja Pulau Maulana bahkan Lamir tidak lagi menjadi tempat tinggal Bendahara Pahang. Sebagai mengingatkan Lamir sebagai tempat tinggal Bendahara Tun Ali maka Almarhum yang disemadikan di Makam Di Raja Kampung Marhum diberi penghormatan sebagai Marhum Lamir.

Sungguhpun Lamir tidak lagi menjadi tempat tinggal Bendahara Pahang tetapi ia terus maju dan menjadi sebuah kampung yang terkenal hingga sekarang. Tambahan pula ia jadi muka sebatang jalan kampung iaitu Jalan Pahang Tua – Langgar.   

Sumber :

Zakaria Hitam. (1989). Asal Usul Nama Tempat Bersejarah Negeri Pahang Darul Makmur (Bahagian Pertama).
Pekan : Lembaga Muzium Negeri Pahang   

Thursday, 4 September 2014

Asal Usul Nama Tempat Bersejarah Negeri Pahang Darul Makmur

DAERAH PEKAN

Dusun Pinang

Dusun Pinang yang letaknya di antara Tanjung Pahang Tua (Air Berbagi) di sebelah hulu dengan Kampung Lamir di sebelah hilir adalah sebuah kampong tua dalam mukim Pahang Tua daerah Pekan. Ia mendapat nama demikian, kerana pada zaman dahulu, di sana banyak terdapat pokok pinang.

Kampung ini adalah sebuah kampung yang bersejarah kerana ia dipercayai sebagai tempat tinggal Pembesar Siam pada mula Indera Pura (Pahang) ditakluk Siam pada penghujung kurun ke 14. Akan tetapi setakat yang diketahui, tiada bekas Siam yang dijumpai sebagaimana yang terdapat di Tanjung Langgar.

Walaupun sekiranya Pembesar Siam tidak tinggal di sana, Dusun Pinang tetap bersejarah. Ini ialah kerana Raja Muhammad putera Sultan Mansur Syah Melaka yang dilantik sebagai Raja Pahang, dalam tahun 1470 bersemayam di sana. Raja Muhammad di hantar ke Pahang di atas kesalahannya membunuh Tun Besar anak Bendahara Melaka disebabkan sepak raga yang disepak oleh Tun Besar menimpa ulunya. Raja Muhammad yang ditabal sebagai Sultan Muhammad Shah mangkat pada 17hb September 1475. Jenazah baginda disemadikan di Dusun Pinang. 

Tentang perkara ini W.Linehan di dalam Sejarah Pahang JMBRAS, XIV. PT.11 May 1936, menulis seperti berikut:

"The events of this period are obscure. There is reason to believe thah Raja Ahmad, the elder brother of the newly appointed Sultan of Pahang, who also had been passed over for the succession to the Malacca throne as a consolation was installed heir to the Pahang Sultan by his father in Malacca and proceeded to that country between the years             1470 to 1475."

Pada masa ini Dusun Pinang dijadikan kawasan Pam Air yang menyedut air dari Sungai Pahang Tua untuk mengairkan Paya Pahang Tua/Langgar. Semasa membesarkan kawasan Pam Air itu dua pasang nesan batu ditemui orang. Nesan-nesan itu dipercayai daripada dua buah kubur pembesar-pembesar yang mengiring Sultan Muhammad dari Melaka. Nesan-nesan itu dipindahkan ke tanah perkuburan Tanjung Johar dekat Tanjung Pahang Tua.

Mujurlah makam Almarhum Sultan Muhammad tidak terlibat sama. Kalau terlibat sama tentulah sukar mendapatkan tanda yang menyatakan bahawa Dusun Pinang pernah jadi tapak Istana Sultan. Sebagai menghormati makam yang bersejarah itu maka pihak Muzium Negara telah memelihara kawasan itu dan meninggikan tempat nesan-nesan itu untuk mengelakkan dari banjir. 

Pada masa ini Makam Almarhum Sultan Muhammad Shah telah jadi satu tarikan kepada ahli-ahli sejarah tanah air.
 

Sumber :

Zakaria Hitam. (1989). Asal Usul Nama Tempat Bersejarah Negeri Pahang Darul Makmur (Bahagian Pertama).
Pekan : Lembaga Muzium Negeri Pahang

Wednesday, 27 August 2014

Asal Usul Nama Tempat Bersejarah Negeri Pahang Darul Makmur

DAERAH KUANTAN

Gudang Rasau

Lebih kurang ½ batu mudik dari jambatan yang merentang Sungai Belat, di jalan Kuantan-Pekan, ada sebuah lubuk. Sebelum ada jalan raya Kuantan-Gambang, lubuk itu dijadikan pengkalan bagi tongkang-tongkang dan jalak-jalak yang membawa barang-barang bagi kegunaan pelombong-pelombong bijih timah di kawasan hulu Sungai Belat.

Di tebing lubuk itu, yang letaknya di sebelah kiri hilir Sungai Belat, didirikan beberapa buah bangunan tempat orang menyimpan barang-barang yang dibawa dari Kuala Sungai Kuantan, melalui Sungai Belat dan juga barang-barang yang dibawa hilir dari hulu Sungai Belat. Bangunan tempat menyimpan barang-barang itu dipanggil gudang. Oleh kerana terdapat banyak rasau, tumbuh di sana, maka tempat itu pun dipanggil Gudang Rasau.

Gudang-gudang yang dibangunkan dari semenjak kawasan hulu Sungai Belat mengeluarkan bijih timah mulai ditinggalkan bila jalan Kuantan-Gambang siap dan feri (boya) di Tanah Putih mula dibuka untuk kegunaan orang ramai pada 5.9.1910. Akhirnya Gudang Rasau ditinggalkan terus. 

Semasa membina jalan Kuantan – Gambang pada awal kurun ke 20 kerajaan telah menggunakan pengkalan Gudang Rasau sebagai tempat memunggah barang-barang keperluan ke tepi jalan yang sedang dibina itu. Sebab itu Kerajaan telah membina sebatang jalan dari pengkalan di Gudang Rasau ke jalan Kuantan-Gambang. Jalan itu dibubuh batu masa ini jalan itu dibaiki dan diturap dengan tar untuk kegunaan penduduk-penduduk Gudang Rasau keluar ke jalan Kuantan-Pekan. 

Selain dari jalan yang dibina pada awal kurun ke 20, yang diguna orang sekarang, di Gudang Rasau masih terdapat 4 buah sabak (dapur) yang diperbuat dari simen dipercayai digunakan orang sebagai dapur tempat memasak candu. Pada masa ini ada beberapa buah rumah kampung terdapat di sana. Salah sebuah rumah itu letaknya berhampiran dengan sabak simen yang dinyatakan di atas.

Selain dari orang-orang yang tinggal di Gudang Rasau dan kawasan sekitarnya tidak ramai lagi orang yang tahukan bahawa Gudang Rasau itu adalah sebuah tempat yang begitu terkenal pada pertengahan kurun ke 19 hingga ke awal kurun ke 20.

Orang-orang yang hendak pergi ke Gudang Rasau boleh menggunakan perahu memudiki Sungai Belat atau dengan kereta menggunakan jalan kecil (jalan Kampung) di sebelah kanan jalan Kuantan-Pekan, lebih kurang 1 kilometer dari simpang lampu isyarat I batu 6 jalan Kuantan-Gambang.

Dari Kuantan ke Gudang Rasau
Singgah sebentar di Kampung Belukar
Kalau intan jangan dirisau
Ke mana dilontar ia bersinar

Sumber :

Zakaria Hitam. (1989). Asal Usul Nama Tempat Bersejarah Negeri Pahang Darul Makmur (Bahagian Pertama). Pekan : Lembaga Muzium Negeri Pahang
 

Monday, 11 August 2014

Tanjak

Tanjak merupakan pakaian penting dalam adat istiadat diraja negeri Pahang. Terdapat beberapa jenis tanjak antaranya ialah Tanjak Sunda Mengamit yang dipakai oleh Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu’adzam Shah. Tanjak Bugis Tak Balik pula sering dipakai oleh Al-Marhum Sultan Mahmud manakala Tanjak Helang Menyungsung Angin dipakai oleh Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah. Semasa pemerintahan Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah, kebanyakan golongan istana memakai Tanjak Sekelungsung Bunga yang mana warna kain tanjak tersebut sahaja yang membezakan kedudukan si pemakai; warna kuning untuk sultan, hitam untuk Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Pahang, biru untuk Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong Pahang dan merah untuk Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang. Namun, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah memakai kembali Tanjak Helang Menyunsung Angin yang pernah dipakai oleh Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah.

Tanjak Pahang

Tanjak Bunga Tak Balik
Tanjak atau Tengkolok ialah sejenis pakaian harian orang Melayu di zaman purba. Pada masa kini, tanjak digunakan untuk pakaian tertentu oleh orang-orang tertentu dan lazimnya di kalangan golongan  istana sahaja. Dipercayai bahawa tanjak ini berasal dari Nusantara kerana Negeri Pahang pernah diperintah oleh Empayar Johor-Riau-Lingga dan mempunyai hubungan yang baik dengan Minangkabau dan Bugis. Hal ini telah mengukuhkan bahawa tanjak dibawa dari rantau ini.

Tanjak Helang Menyusung Angin
Terdapat pelbagai jenis tanjak berdasarkan rekabentuk dan kaedah mengikat. Sebelum tanjak dibentuk, kain tanjak tersebut perlu digerus terlebih dahulu  dengan menggunakan siput gerus agar kain tersebut licin dan berkilat. Gerus ini boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu gerus mentah dan gerus masak. Kain yang menggunakan kaedah gerus mentah tidak dikanji terlebih dahulu manakala kain yang menggunakan kaedah gerus masak kainnya dikanji terlebih dahulu. Terdapat beberapa jenis kain sahaja yang dikhaskan untuk membuat tanjak iaitu Kain Songket, Kain Bugis, Kain Benang Halus, dan Batik Jawa. Tanjak ini hanya dipakai di majlis-majlis rasmi seperti di Majlis Adat Istiadat Di Raja, di Balairong Seri, Istiadat di Balai, di Istiadat Meletak Kerja atau di Majlis-majlis Perkahwinan Di Raja. 

Tanjak Sekelungsung Bunga
Tanjak Sunda Menggamit
Antara jenis tanjak yang terdapat di Negeri Pahang ialah Tanjak Sunda Menggamit yang dipakai oleh Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu’adzam Shah. Tanjak Bugis Tak Balik pula sering dipakai oleh Al-Marhum Sultan Mahmud manakala Tanjak Helang Menyunsung Angin dipakai oleh Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah. Semasa pemerintahan Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah, kebanyakkan golongan istana memakai Tanjak Sekelungsung Bunga yang mana warna kain tanjak tersebut sahaja yang membezakan kedudukan si pemakai. Tanjak yang berwarna kuning untuk Sultan, hitam untuk Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Pahang, biru untuk Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong Pahang dan merah untuk Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang. Namun, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah memakai kembali Tanjak Helang Menyunsung Angin yang pernah dipakai oleh Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah.

Sumber : Sariah Shafie. 1987. Tanjak Pahang dalam Pahang Dalam Sejarah. 
                Pekan:   Lembaga Muzium Negeri Pahang. 
                Koleksi Gambar Lembaga Muzium Negeri Pahang



 

Wednesday, 23 July 2014

Tarian Labi-labi

Tarian Labi-labi dikatakan berasal dari Endau, Rompin dan kemudiannya berkembang ke daerah Pekan dan Kuantan. Bahkan hingga ke hari ini, Tarian Labi-labi merupakan salah satu tarian etnik yang popular dikalangan kumpulan-kumpulan tarian di Negeri Pahang walaupun beberapa pergerakan telah diolah untuk disesuaikan dengan masa dan penonton. 

Sejarah Tarian Labi-labi bermula daripada kisah seorang pengail bernama Pak Ngah. Pada satu hari, Pak Ngah pergi mengail disungai tetapi tidak mendapat seekor ikan pun walaupun umpannya habis. Kemudian, Pak Ngah menggunakan pisang sebagai umpan dan telah menarik perhatian sekumpulan labi-labi. Pergerakan labi-labi yang cuba memakan umpan pisang ini telah memberi idea kepada Pak Ngah untuk membentuk kumpulan Tarian Labi-labi. 
 
Tarian Labi-labi
Berdasarkan tarian asal, terdapat hanya dua orang penari sahaja iaitu watak Pak Ngah dan labi-labi jantan. Namun, watak Mak Ngah dan beberapa ekor labi-labi telah ditambah sesuai dengan perubahan dan kreativiti koreografer. Kostum dalam tarian ini berbentuk labi-labi yang dipasang di atas belakang penari. Watak  Mak Ngah pula memakai baju kebaya lengan panjang dengan kain sarung atau batik manakala, Pak Ngah memakai terendak atau kain ikat kepala dan memegang sebatang kail.  

Alat muzik yang digunakan untuk mengiringi Tarian Labi-labi pada awalnya hanya tetawak dan biola sahaja. Namun, sejajar dengan perkembangan semasa, alat muzik seperti genduk, gedombak, gendang dan serunai telah ditambah bagi memeriahkan lagi persembahan.

Tuesday, 22 July 2014

Tarian Ajuk

Tarian Ajuk merupakan salah satu tarian tradisi bagi masyarakat Orang Asli Jah Hut di Kampung Penderas, Temerloh. Tarian ini merupakan satu tarian persembahan hiburan yang tidak mempunyai unsur-unsur pemujaan yang mengaitkan ‘makhluk halus’. Tarian ajuk kebiasaannya dipersembahkan dalam majlis berkhatan, majlis perkahwinan, majlis keramaian serta majlis meraikan pembesar-pembesar yang melawat ke kampung-kampung. 
 
Tarian Ajuk
Bilangan penari bagi tarian ini tidak mempunyai jumlah bilangan yang tetap. Mereka akan menari mengikut lagu-lagu tertentu yang dinyanyikan oleh seorang penyanyi. Kebiasaannya, lagu-lagu dalam tarian ini rancak dan laju mengikut alunan muzik yang dimainkan. Bunga-bunga pergerakan dalam Tarian Ajuk mengikut pergerakan ketua dalam tarian tersebut. Para penari yang terdiri daripada lelaki dan perempuan akan menari mengajuk pergerakan ketua. Tarian ini tiada jangka waktu dan terpulang kepada ketua. Alat muzik untuk tarian ini dibuat  daripada beberapa batang buluh yang dipotong mengikut saiz tertentu.  Pemain akan mengetuk buluh-buluh pelbagai saiz itu di atas papan untuk menghasilkan bunyi dan rentak.

Monday, 21 July 2014

Bertandu

Bertandu membawa maksud diusung dengan tandu atau menaiki tandu. Kebiasaanya tandu atau usungan dibuat untuk tujuan memuliakan sultan dan mengelakkan sultan berjalan kaki merempuh semak samun dan sebagainya. 

Pada masa dahulu, jalan perhubungan utama di negeri Pahang adalah sungai. Hal ini telah menyebabkan Sultan Ahmad Al-Mu’adzam Shah melawat sama ada ke hulu Pahang atau tempat-tempat lain dengan menggunakan perahu dan kenderaan air. Oleh itu, penghulu di sesuatu kampung yang hendak dilawati akan menyediakan tandu sebagai kenaikkan diraja melawat kampung mereka. Pembawa tandu terdiri di antara dua hingga enam orang. Di setiap daerah, penghulu bertanggungjawab memilih orang-orang yang akan menjulang atau memikul tandu tersebut. Sultan bersemayam di atas tandu dan diiringi oleh pembesar-pembesar. Namun, penggunaan tandu di Pahang hanya terkenal sehingga zaman pemerintahan Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah (1917-1932 TM) sahaja. Hal ini kerana apabila masuk zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah (1932-1974 TM), tandu sudah tidak digunakan lagi. 
Selain daripada menjadi kenaikkan sultan, tandu juga digunakan untuk mengarak pengantin. Kebiasaanya, kedua mempelai akan duduk di atas tandu. Pada zaman moden, pengubahsuaian dilakukan di mana kerusi telah diletakkan di atas tandu dan kedua pengantin akan duduk diatas kerusi yang dihias indah. Di samping itu, peralatan pengantin seperti sirih junjung, nasi pulut kuning dan peralatan perkahwinan juga diletakkan juga di atas tandu berkenaan. 

Pada tahun 1990, tandu digunakan untuk istiadat perarakan diraja yang diadakan sempena memuliakan Sambutan Ulangtahun Keputeraan Ke-60 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah serta genap 15 tahun pemerintahan baginda. Tandu yang digunakan untuk istiadat perarakan tersebut dikenali dengan nama ‘Seri Buana’. Tandu ini dijulang oleh 60 orang yang juga simbolik kepada 60 tahun usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Friday, 18 July 2014

Upacara Mengarok

Berdasarkan Hikayat Pahang, mengarok berasal dari Bugis yang dibawa oleh Bugis dan diketuai oleh seorang panglima bernama Selawatang. Askar-askar ini dibawa oleh Ungku Temenggong Teluk Belanga Singapura ke Pahang untuk membantu Bendahara Sewa Raja Wan Ahmad sebaik sahaja masuk balik ke Pahang bersama Syed Idrus dari Kelantan. Upacara mengarok pertama sekali diadakan ialah di Chenor untuk mengalu-alukan Wan Ahmad diangkat oleh Orang Besar Pahang menjadi Bendahara Pahang bergelar Bendahara Sewa Raja pada 10 Jun 1863. Selepas itu, acara mengarok diadakan dari semasa ke semasa seperti dalam Istiadat Perkahwinan Diraja, Hari Keputeraan, Istiadat Pertabalan Diraja dan apa jua Istiadat Diraja yang diadakan secara besar-besaran seperti Istiadat Berkhatan dan Bertindik dan sebagainya.

Lazimnya, bilangan peserta mengarok terdiri daripada 40 orang lelaki yang dibahagikan kepada dua pasukan dan setiap pasukan mempunyai ketua. Para peserta hendaklah terdiri daripada orang-orang sesama sendiri yang tidak bermusuhan dan bersengketa serta mesti pandai bersilat.  Jika mengarok digunakan untuk majlis perkahwinan, satu pasukan dianggap sebelah pengantin lelaki, manakala sepasukan lagi dianggap sebelah pengantin perempuan. Pasukan pengantin perempuan hendaklah menyediakan beberapa pasukan penunggu di tempat-tempat tertentu. Apabila bertembung dengan pasukan pengantin lelaki, pasukan pengantin perempuan dianggap kalah dan diserap dalam pasukan mengarok sebelah pengantin lelaki. 

Sebelum bertolak atau bermulanya upacara mengarok, doa selamat dibacakan. Kemudian, sambil mara mereka berselawat. Setelah sampai ke tempat yang dituju dan dijanjikan, kedua-dua pasukan mara seperti berperang sambil melaungkan ‘chah, arok’  berkali-kali dan melakukan pencak silat. Apabila kedua-dua pasukan ini bertembung mereka akan mencari lawan dan bergelut sambil bersorak-sorai. Keadaan ini berlaku selama empat hingga lima minit. Apabila tangan yang menghunus keris bersilang, bahu bertemu bahu dan berdiri di atas sebelah kaki (sebelah kaki lagi diangkat seolah-olah sedang menyerang lawan),ia menandakan serangan itu sudah berakhir. Walau bagaimanapun hal ini tidak bererti upacara mengarok sudah berakhir kerana ia diteruskan lagi sehingga beberapa kali mengikut perjanjian. Pasukan mengorak diketuai atau dibarisi dengan panglima yang gagah dan handal. Setiap pertempuran akan didahului oleh mereka yang berjumlah empat hingga lapan orang dan kemudian barulah diikuti oleh pengikut-pengikut yang lain. Kebiasaannya, upacara mengarok berakhir dengan persembahan pencak silat oleh sepasang pendekar. 



 
 

Wednesday, 9 July 2014

Kedatangan Islam di Negeri Pahang (2)


Makam Ziarat Raja Raden 
Makam Ziarat Raja Raden dilihat agak penting dalam sejarah dan kebudayaan Islam di Pahang. Makam Ziarat Raja Raden yang terletak di Kampung Tangki Air terdiri daripada dua makam penting. Makam yang pertama adalah makam Raja Fatimah. Terdapat inskripsi yang bertulisan bahasa Melayu dan Arab. Malah terdapat juga panel-panel berbentuk hati yang terdapat pada kemuncak batu nisan itu diisi dengan rangkaian nama-nama Allah seperti ‘Al-Ghafur, ‘Al-Jalil, ‘Al-Aziz, ‘Al-Jamal dan ‘Al-Jalal. Makam yang kedua pula adalah makam Abdul Jalil (Jamil) yang mangkat pada 917 Hijrah bersamaan 1511 Masihi. Ibrahim Alfian (1973) mendapati persamaan kandungan tulisan pada batu nisan Raja Jalil dengan tulisan-tulisan yang terukir pada batu nisan Sultan Mansor Shah, Melaka dan Sultan Malik al-Salleh, Pasai. Kedua-dua makam ini adalah makam-makam raja-raja Pahang dari keturunan Sultan Melaka. Kehadiran batu-batu nisan Aceh itu di Pahang juga dipercayai dibawa dari Melaka kerana pertalian keturunan tersebut.

Makam Condong
Berhampiran dengan Makam Ziarat Raja Raden terdapat satu lagi makam yang dikenali oleh penduduk setempat sebagai Makam Condong. Makam Condong ini menjadi salah satu makam penting kerana ia merupakan testimoni kepada hubungan erat yang pernah terjalin di antara Pahang dan Aceh pada abad ke-17 Masihi. Keberadaan batu-batu nisan ini dicatatkan dalam kitab Bustanu’s-Salatin yang ditulis oleh Sheikh Nuruddun ar-Raniri. Penulisan ini telah mengisahkan bagaimana Sultan Iskandar Thani telah memerintahkan Orang Kaya Maharaja Seri Maharaja, Orang Kaya Laksamana Seri Perdana Menteri dan Orang Kaya Lela Wangsa bertolak ke Pahang untuk meletakkan batu nisan pada makam ayahandanya. Hal ini kerana semasa penaklukan Pahang, Sultan Iskandar Thani telah dibawa lari ke Aceh dan masih berumur tujuh tahun. Oleh yang demikian, baginda telah memerintahkan pembesar-pembesarnya meletakkan batu nisan di makam-makam keluarganya di Pahang. 
Makam Condong

 

Monday, 7 July 2014

Kedatangan Islam di Negeri Pahang

Agama merupakan salah satu perkara asas dalam kehidupan manusia. Hal ini telah menyebabkan terdapat kajian berkenaan dengan kedatangan Islam di Negeri Pahang. Antara bukti-bukti awal yang menunjukkan kedatangan Islam di negeri Pahang adalah penemuan batu nisan dan makam. Tarikh yang terpahat pada sesuatu batu nisan itu boleh digunakan untuk menyatakan tarikh kedatangan Islam ke sesuatu tempat. Terdapat beberapa batu nisan yang boleh dilihat sebagai bukti kedatangan Islam.

Batu Nisan Kampung Permatang Pasir 
Berdasarkan catatan, negeri Pahang bukanlah negeri pertama yang menerima kedatangan Islam. Namun, penemuan batu nisan di Kampung Permatang Pasir telah menunjukkan adanya kedatangan Islam di negeri tersebut. Malah tarikh yang tercatat pada batu nisan tersebut iaitu 410 Hijrah bersamaan 1028 Masihi, iaitu lebih awal daripada batu bersurat Terengganu yang bertarikh 702 Hijrah bersamaan 1303 Masihi. Menurut Othman Yatim (1997),perkara ini bukanlah mustahil kerana sejak akhir ke-9 Masihi lagi sudah ada pedagang Islam yang menggunakan Selat Melaka dan Laut China Selatan dalam perjalanan ke China. Malah, beliau juga menyatakan bahawa batu nisan Permatang Pasir ini hanya dapat menandakan kedatangan Islam tetapi tidak dapat mengaitkannya dengan perkembangan Islam ke Pahang.


Batu Nisan Kampung Permatang Pasir

Batu Nisan Sultan Mahmud Shah 1
Batu Nisan Sultan Mahmud Shah 1 terletak di Dusun Pinang, Pahang Tua, Pekan, Pahang. Linehan (1936) mentafsirkan tulisan yang terpahat pada batu nisan ini sebagai menandakan makam Sultan Muhamad Shah I, iaitu Sultan Pahang pertama dari keturunan Kesultanan Melayu Melaka. Sultan Muhamad telah dihalau ke Pahang kerana membunuh anak bendahara. Sementara itu, Wilkinson (1932) pula berpendapat makam itu adalah makam Raja Ahmad, putera sulung Sultan Mansor Shah Melaka dengan isterinya dari Pahang bernama Puteri Wanang Sri. Bagi Othman Yatim (1997) batu nisan ini agak penting bukan sahaja kepada negeri Pahang tetapi juga kepada Malaysia secara keseluruhannya kerana ia dipercayai merupakan batu Aceh yang tertua di Tanah Melayu. Batu Aceh merupakan sejenis batu nisan yang banyak digunakan untuk menandakan makam raja-raja dan pembesar-pembesar Melayu sejak kurun ke-13  hingga kurun ke-19 Masihi dan ia dipercayai batu ini diimport dari Aceh.

Wednesday, 14 May 2014

Gamelan Pahang

Gamelan

Pahang merupakan negeri Melayu yang pertama melahirkan seni persembahan bersifat 'esemble' istana sejak awal kurun ke 19. Dikatakan gamelan buat pertama kalinya diperdengarkan di Tanah Melayu semasa majlis perkahwinan di antara Tun Esah (Adik Bendahara Ali-pemerintah Pahang) dengan Tengku Hussin putera Sultan Johor-Riau pada tahun 1811. Satu rombongan penari dan pemain gamelan telah didatangkan khas dari Penyengat bagi memeriahkan lagi majlis perkahwinan tersebut. Sir Frank Swettenham, seorang pegawai British di Pahang juga pernah menulis tentang persembahan Joget Pahang yang disaksikanya di Istana Pahang atas jemputan Bendahara Ahmad pada tahun 1875 di dalam artikelnya yang bertajuk 'The Joget'. 

Kesenian gamelan ini dikatakan dicipta di istana Kerajaan Srivijaya dalam abad ke 7-13 Masihi. Ia kemudiannya berkembang ke Istana Pahang dalam abad ke 19. Terdapat tiga kumpulan muzik gamelan di Istana Pahang yang dikelolakan oleh isteri-isteri Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah tetapi antara kumpulan Che Bedah yang kemudiannya diteruskan oleh anaknya Tengku Mariam. Seni muzik yang diwarisi dari istana ke istana ini terus dipelihara dengan baik dengan mengekalkan gerak tari yang lemah gemalai bersama iringan muzik gamelan yang mengasyikkan.


Berikut adalah set Gamelan Pahang berusia hampir 200 tahun yang masih lagi dipamerkan di Galeri Sejarah dan Kesultanan Melayu Pahang, Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang. Semoga kesenian muzik tradisi ini bukan sahaja akan terus terpelihara tetapi turut dinikmati oleh generasi akan datang sebagai salah satu daripada khazanah warisan Diraja Pahang.

Set Gamelan Pahang

Thursday, 8 May 2014

Masakan Tradisional Pahang

Masakan Istana
Istana sebagai pusat sastera dan budaya Melayu semenjak zaman silam juga mempunyai citra masakannya yang tersendiri. Meskipun istana mempunyai tukang masak yang khusus, tetapi ada bukti yang menunjukkan bahawa terdapat beberapa masakan istana berasal daripada kreativiti turun-temurun masyarakat kampung. Resepi itu kemudiannya dibawa masuk ke istana dengan membuat beberapa perubahan serta pengubahsuaian mengikut citra dan citarasa Diraja. Ada juga masakan istana yang dibawa dari luar contohnya ‘Puding Raja’, yang dikatakan dibawa masuk dari Singapura. Pengaruh masakan Inggeris / barat hasil dari proses pendidikan dan hubungan diplomatik.juga boleh dilihat dalam masakan istana. Contohnya masakan ‘Ayam Ros’ yang menjadi kegemaran Almarhum Sultan Abu Bakar. Masakan ini lebih ‘elaborate’ dengan penggunaan bahan yang lebih pelbagai. Masakan istana juga tidak selalunya menjadi hidangan santapan harian. Ia biasanya dijadikan hidangan istimewa untuk majlis-majlis keraian atau untuk tujuan membesarkan tetamu Diraja / istana.

Jenis masakan Istana, klik disini..


Masakan Melayu  
Masakan jati Pahang sebenarnya sukar dicerakinkan secara sahih kerana negeri ini sebagaimana negeri-negeri lain, turut menerima pengaruh luar seawal abad pertama sebelum Masihi lagi. Pengaruh China, Arab, Parsi dan India telah meresap ke dalam masyarakat Melayu dan berbaur dengan pengaruh etnik rumpun Melayu yang lain. Malah, kedatangan bangsa-bangsa barat kemudiannya turut mewarnai corak dan citra masakan Melayu Pahang. Pembukaan rancangan tanah di negeri Pahang menyebabkan berlakunya penghijrahan orang-orang Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Johor, Perak, Kelantan dan Terengganu secara besar-besaran bermula pada pertengahan kedua tahun lima puluh. Keadaan ini turut mendatangkan kesan yang sama kepada masakan Melayu Pahang.

Masakan Masyarakat Orang Asli
Secara umumnya, hampir semua masakan masyarakat Orang Asli tidak kira dari suku mana sekalipun berasaskan kepada bahan-bahan yang mudah diperolehi daripada kawasan persekitarannya. Bagi masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman, bahan-bahan makanan yang mereka perolehi terdiri daripada hasil buruan, buah-buah hutan, pucuk-pucuk kayu dan sebagainya. Bagi masyarakat Orang Asli yang tinggal berhampiran sungai pula, mereka mudah mendapat bahan-bahan makanan seperti ikan, siput, labi-labi dan udang. Keadaan ini akan mempengaruhi resepi dan gaya masakan sesebuah suku kaum itu. Misalnya, suku kaum Bateq yang tinggal di kawasan pedalaman mendapat sumber makanan dari bahan mentah seperti sayur-sayuran, umbut-umbut, buah-buahan dan paku pakis. Sumber utama karbohidrat mereka pula ialah dari tumbuhan jenis ubi seperti ubi godong yang boleh diperolehi sepanjang tahun.

Namun, sesuai dengan peredaran zaman resepi Orang Asli mula menerima pengaruh daripada masakan orang Melayu yang tinggal di kampung-kampung berhampiran. Walaupun begitu, mereka tetap mempertahankan keaslian dan identiti masakan tradisi mereka, cuma terdapat sedikit perubahan dengan penambahan penggunaan bahan-bahan seperti asam, gula dan santan kelapa.

Dalam proses penyediaan makanan pula, kaedah memasak yang digunakan oleh Orang Asli adalah amat ‘simple’ seperti bakar, panggang, rebus atau salai. Peralatan memasak yang digunakan oleh Orang Asli pada masa kini masih lagi melibatkan penggunaan buluh, periuk tanah liat dan dapur kayu. Ini jelas menunjukkan bahawa walaupun negara telah mencapai kemajuan, namun masyarakat Orang Asli masih lagi berupaya mempertahankan  adat, budaya dan warisan mereka.

Wednesday, 30 April 2014

Tokoh Pahlawan Pahang (Artikal 4)

Leftenan Mohd Nor bin Haji Abdul Rani

Leftenan Mohd Nor bin Hj Abdul Rani
Leftenan Mohamad Nor bin Haji Abdul Rani atau lebih dikenali sebagai  Nor Rani dilahirkan di sebuah kampung yang bernama Kampung Bukit Ubi, Kuantan pada tanggal 1912. Pada tahun 1939, Mohamad Nor bin Haji Abdul Rani telah menganggotai dan berkhidmat di Kapal H.M.S. Kedah yang berpengkalan di Singapura. Kapal ini berkawal di laut China Selatan, Pantai Timur Tanah Melayu, Pantai Borneo dan Selat Melaka. Nor Rani telah dipanggil balik bertugas di Singapura pada 10.12.1941 semasa beliau sedang bercuti di Kuantan, Pahang dan diarah untuk membawa orang kenamaan British pulang ke England untuk mengelakkan dari serangan Jepun. Kemudian beliau belayar pula ke Colombo.

Pada 3.4.1942, satu angkatan kapal terbang Jepun datang menyerang Colombo. Ahli-ahli  Ceylon Garrison Artillery dan Ceylon Light Infantry berundur dari Colombo. Nor Rani bersama 113 orang tentera laut Semenanjung Tanah Melayu menggunakan meriam melawan serangan Jepun itu. Mereka telah berjaya menghalau Jepun dari situ. Januari 1943, Nor Rani bersama 29 orang askar yang lain menjadi ahli pasukan 136 iaitu pasukan gerila yang melawan Jepun di Tanah Melayu.

Leftenan Mohd. Nor bin Haji Abdul Rani telah banyak memberi sumbangan kepada negara kita. Antaranya, beliau berjaya menembak mati beberapa askar Jepun, mengembalikan keamanan di Grik, Perak dengan menghapuskan Jepun di sana. Leftenan Nor Rani dianugerahkan sebagai Tok Penghulu Grik oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak. Tidak berapa lama kemudian, beliau dikurniakan pula Pingat Tok Amar Pahlawan Perak. 

Setelah beliau bersara, beliau pulang semula ke Pahang dan kemudian berpindah ke Kuala Lumpur. Leftenan Mohamad Nor bin Haji Abdul Rani menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumah beliau di Kuala Lumpur pada 13 November 1984.


Ibrahim Haji Yaakob

Ibrahim Haji Yaakob
Lahir pada 27 November 1911 di Kampung Kertau,Temerloh. Mendapat pendidikan di Sekolah Melayu pada 1918 dan Sekolah Latihan Guru  1926-1927 sebelum menuntut di Maktab Perguruan Tanjung Malim pada 1928-1931. Mengajar di Bentong pada 1931-1936 dan kemudian menjadi guru bahasa di Pusat Latihan Polis, Kuala Lumpur. 

Pertengahan 1938, beliau menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KMM) untuk memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Mei 1939, menjadi pengarang akhbar Majlis dan wartawan Utusan Melayu 1940-1941. Menjelang 1942, KMM diharamkan oleh Jepun dan disusun semula dengan nama KRIS (Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung) pada Jun 1945. Ogos 1945,  beliau ditukarkan ke Jakarta menguruskan pemindahan PETA (Panglima Pembela Tanah Air). Beliau menentang penjajah Belanda bersama rakyat Indonesia dengan menggunakan nama Iskandar Kamil. 

Pernah menjadi Diplomat Indonesia di Phnom Penh dan Manila. Menulis beberapa buah buku seperti Sejarah Dan Perjuangan Di Malaya, Nusa Dan Bangsa Melayu dan Melihat Tanah Air. Meninggal dunia pada 8 Mac 1979 dalam usia 68 tahun dan disemadikan di Makam Pahlawan Kalibata, Jakarta.

 

Tokoh Pahlawan Pahang (Artikal 3)

Pawang Nong Taib bin Santan

Pawang Nong Taib bin Santan
Pawang Nong Taib, anak Santan bin Husin dengan Boi binti Bakar adalah pejuang Pahang. Beliau terlibat dalam gerakan menentang Jepun dan Komunis. Pawang Nong dilahirkan di Kampung Sempiat, Mukim Tanjung Besar, Kuala Lipis, Pahang pada tahun 1874. 

Ketika pendudukan Jepun, 1942-1945, Pawang Nong mengarahkan penduduk Kampung Hulu Cheka jangan mematuhi perintah Jepun menyerahkan semua lebihan padi, sebaliknya menyerahkan 15-20 gantang sahaja. Lebihan padi disimpan di tepi hutan untuk mengelakkan daripada di kesan pemerintah Jepun. 

Pawang Nong membantu pasukan 136 di bawah pimpinan Golden berlindung di Sekolah Kebangsaan Hulu Cheka. Pawang Nong juga memainkan peranan menentang komunis di kampungnya. Beliau bersama 40 orang membantu pasukan tentera yang terdiri daripada 8 orang di bawah pimpinan Leftenan Adnan bertempur dengan Komunis di Kampung Perlok. 

Selain itu Pawang Nong bersama pasukannya membuat rondaan dengan mengesan komunis. Di atas jasanya, Pawang Nong dianugerahkan bintang Ahli Mangku Negara (AMN) dan Pingat Jaksa Kebaktian (PJK). Pawang Nong menunaikan fardu Haji pada tahun 1957. Beliau terus berkhidmat sebagai bomoh sehingga meninggal dunia pada hari Jumaat, 12 November 1976.


Jeneral (B) Tan Sri Haji Abdul Hamid bin Bidin

Jeneral (B) Tan Sri Haji Abdul Hamid bin Bidin
Abdul Hamid bin Bidin dilahirkan pada 1 Julai 1918, di Kampung Pianggu, Endau Rompin, Pahang Darul Makmur. Beliau telah mencatatkan rekod sebagai anggota tentera pangkat biasa yang pertama berjaya menjadi Panglima Angkatan Tentera. Beliau merupakan Panglima Angkatan Tentera Malaysia ke-2 (November 1969- Jun 1970) menggantikan Jeneral (B) Tunku Tan Sri Haji Osman bin Tunku Md. Jewa. Beliau memulakan penglibatan dalam bidang ketenteraan pada 1 Ogos 1939 apabila mengikuti latihan rekrut selama 6 bulan di Port Dickson. 

Jeneral Hamid menjadi penduduk tempatan pertama menjadi Edikong (pengiring) Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Henry Gurney pada 1950. Beliau juga telah diberi penghormatan untuk memerintah Briged Ketiga di Congo dalam Pasukan Pengaman PBB dari 10 Mac 1961 – 28 Mac 1962. Selepas itu, Jeneral Hamid telah dinaikkan pangkat sehingga Mejar Jeneral dan memegang jawatan Ketua Turus Tentera Darat. Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat lagi kepada Leftenan General (7 Julai 1966) dan akhirnya Jeneral (1 Julai 1968).

Tuesday, 29 April 2014

Tokoh Pahlawan Pahang (Artikal 2)

Mat Lela


Mat Lela
Mat Lela adalah seorang tokoh pahlawan Pahang menentang British pada tahun 1891-1895. Beliau adalah anak Dato’ Bahaman. Mat Lela bersama bapanya menjalankan gerakan menentang British di Pahang. Oleh kerana kegiatannya itu, nama Mat Lela diletakkan dalam senarai hitam, tokoh dikehendaki oleh kerajaan yang diisytiharkan pada 7 Februari 1892. Mat Lela bersama Dato’ Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau melancarkan serangan ke atas kubu Jeram Ampai pada 14 Jun 1894. 

Setelah gagal mempertahankan kubu Jeram Ampai daripada serangan pasukan British, Mat Lela dan pejuang Pahang yang lain berundur ke Hulu Lebir, Kelantan. Kemudiannya tinggal di Kemumin, Machang di bawah lindungan Engku Selia Raja. Pada akhir 1894, Mat Lela dan beberapa orang pejuang Pahang berlindung di Besut, Terengganu. Dalam bulan September 1895 Mat Lela yang berada di Hulu Kelantan ditangkap oleh pegawai Thai. Seterusnya pada bulan November 1895 di bawa ke Kota Bharu. Kemudiannya Mat Lela dibawa oleh pegawai Thai ke Bangkok dan seterusnya ke Chiengmai.


Mat Kilau

Mat Kilau
Mat Kilau adalah seorang pemimpin gerakan menentang British di Pahang pada tahun 1891-1895. Nama sebenarnya ialah Muhammad. Beliau adalah anak Tok Gajah dengan Teh Mahada. Nama Mat Kilau mulai menonjol dalam kegiatan menentang British di Hulu Pahang. Pihak British memujuk Mat Kilau menghentikan kegiatannya. Oleh kerana Mat Kilau enggan, pihak British melancarkan serangan ke atas Kampung Budu. Mat Kilau, sekeluarga dan pengikutnya meninggalkan Kampung Budu yang dibakar oleh British. 

Mat Kilau yang diburu oleh British berlindung di rumah Wan Tanjung, anak Tok Raja. Kemudiannya berundur ke Hulu Cheka dan seterusnya bersama Tok Gajah ke Lebir. Pada 14 Jun 1894, Mat Kilau bersama pejuang-pejuang Pahang yang lain menyerang dan menawan kubu British di Jeram Ampai. 

Apabila British menawan semula kubu ini Mat Kilau bersama Dato’ Bahaman, Tok Gajah dan Mat Lela berundur ke Kelantan dan Terengganu. Pada tahun 1896, British mendapat maklumat yang Tok Gajah dan Mat Kilau meninggal dunia. Kemudiannya Mat Kilau muncul kembali. Beliau meninggal dunia pada 16 Ogos 1970 dan dikebumikan di perkuburan Kampung Masjid, Pulau Tawar, Pahang.

Monday, 28 April 2014

Tokoh Pahlawan Pahang (Artikel 1)

Dato' Bahaman Bin Tuanku Imam Noh

Dato’ Bahaman, Orang Kaya Setia Perkasa Pahlawan
Dato' Bahaman
Semantan adalah tokoh pejuang Pahang menentang British. Beliau dilahirkan pada tahun 1838 di Kampung Rantau Panjang, Pahang. Oleh kerana jasanya membantu Wan Ahmad dalam perang mengalahkan Bendahara Wan Mutahir pada tahun 1863, Bahaman di anugerahkan gelaran Orang Kaya Setia Perkasa Pahlawan Semantan dan berkuasa di kawasan Semantan. Apabila British campur tangan dalam pentadbiran Pahang mulai tahun 1887, Dato’ Bahaman melahirkan rasa tidak puas hati. Di samping itu perselisihan sering kali berlaku di antara Dato’ Bahaman dengan Residen British, J.P.Rodger. 

Pada tahun 1891 Dato’ Bahaman mengarahkan pengikutnya melancarkan serangan ke atas pasukan British dalam perjalanan ke Lubuk Terua yang diketuai oleh C.E.M. Desborough, pemangku pemungut cukai mukim Semantan yang menangkap 3 orang pengikutnya kerana tidak mengambil surat kebenaran memungut hasil hutan. Pasukan Dato’ Bahaman gagal mengatasi pasukan British. Dengan itu berundur ke Kelantan dan Terengganu. Pada tahun 1894, dengan semangat jihad Dato’ Bahaman dan pengikutnya melancarkan serangan ke atas Pahang. Beliau berjaya menduduki balai polis Kuala Tembeling dan kubu British di Jeram Ampai. Kejayaan tidak lama, pasukan British bertindak balas, menyerang dan menawan kubu Jeram Ampai. Dato’ Bahaman dan pengikutnya berundur semula ke Kelantan dan Terengganu. Pada tahun 1896, ketika tinggal di Kelantan, Dato’ Bahaman dan pengikutnya dibawa oleh pegawai kerajaan Thailand ke Bangkok dan kemudiannya ke Chiengmai. Mengikut sumber tertentu Dato’ Bahaman meninggal dunia di Thailand.


Tok Gajah (Imam Perang Rasu)

Tok Gajah
Tok Gajah atau Imam Perang Rasu adalah seorang pemimpin menentang British di Pahang 1891-1895. Nama sebenarnya ialah Abdul Salam. Tok Gajah dilahirkan di Kampung Temau, Raub, Pahang pada tahun 1845. Beliau membantu Wan Ahmad mengalahkan Bendahara Wan Mutahir pada tahun 1863 dalam perang merebut jawatan Bendahara. Kemudian beliau terlibat dalam perang Selangor membantu Tengku Kudin. Setelah pulang dari Selangor, Tok Gajah dianugerahkan gelaran Imam Perang Indera Gajah Pahang dan berkuasa di Pulau Tawar. Walaupun Tok Gajah membenci British, tetapi beliau hanya bergabung secara langsung dengan pasukan Bahaman pada tahun 1892. 

Pada tahun 1894, Tok Gajah memimpin salah satu pasukan melancarkan serangan ke atas kubu British di Jeram Ampai. Apabila gagal mengekalkan kedudukan di kubu ini, pasukan pejuang Pahang berundur. Pasukan Tok Gajah bertempur dengan pasukan Britsh di bawah Hugh Clifford di Hulu Pertang pada 30 Julai 1894. Tok Gajah berjaya memboloskan diri. Beliau meninggal dunia di Pasir Nering, Kuala Berang, Terengganu pada tahun 1901 dan dikebumikan di situ.