Dato’ Bahaman, Orang Kaya Setia Perkasa Pahlawan
Semantan
adalah tokoh pejuang Pahang menentang British. Beliau dilahirkan pada tahun
1838 di Kampung Rantau Panjang, Pahang. Oleh kerana jasanya membantu Wan Ahmad
dalam perang mengalahkan Bendahara Wan Mutahir pada tahun 1863, Bahaman di
anugerahkan gelaran Orang Kaya Setia Perkasa Pahlawan Semantan dan berkuasa di
kawasan Semantan. Apabila British campur tangan dalam pentadbiran Pahang mulai
tahun 1887, Dato’ Bahaman melahirkan rasa tidak puas hati. Di samping itu
perselisihan sering kali berlaku di antara Dato’ Bahaman dengan Residen
British, J.P.Rodger.
![]() |
Dato' Bahaman |
Pada tahun 1891 Dato’ Bahaman mengarahkan pengikutnya
melancarkan serangan ke atas pasukan British dalam perjalanan ke Lubuk Terua
yang diketuai oleh C.E.M. Desborough, pemangku pemungut cukai mukim Semantan
yang menangkap 3 orang pengikutnya kerana tidak mengambil surat kebenaran
memungut hasil hutan. Pasukan Dato’ Bahaman gagal mengatasi pasukan British.
Dengan itu berundur ke Kelantan dan Terengganu. Pada tahun 1894, dengan
semangat jihad Dato’ Bahaman dan pengikutnya melancarkan serangan ke atas
Pahang. Beliau berjaya menduduki balai polis Kuala Tembeling dan kubu British
di Jeram Ampai. Kejayaan tidak lama, pasukan British bertindak balas, menyerang
dan menawan kubu Jeram Ampai. Dato’ Bahaman dan pengikutnya berundur semula ke
Kelantan dan Terengganu. Pada tahun 1896, ketika tinggal di Kelantan, Dato’ Bahaman
dan pengikutnya dibawa oleh pegawai kerajaan Thailand ke Bangkok dan kemudiannya
ke Chiengmai. Mengikut sumber tertentu Dato’ Bahaman meninggal dunia di
Thailand.
Tok Gajah (Imam Perang Rasu)
![]() |
Tok Gajah |
Tok Gajah atau Imam Perang Rasu adalah seorang pemimpin
menentang British di Pahang 1891-1895. Nama sebenarnya ialah Abdul Salam. Tok
Gajah dilahirkan di Kampung Temau, Raub, Pahang pada tahun 1845. Beliau
membantu Wan Ahmad mengalahkan Bendahara Wan Mutahir pada tahun 1863 dalam
perang merebut jawatan Bendahara. Kemudian beliau terlibat dalam perang
Selangor membantu Tengku Kudin. Setelah pulang dari Selangor, Tok Gajah
dianugerahkan gelaran Imam Perang Indera Gajah Pahang dan berkuasa di Pulau
Tawar. Walaupun Tok Gajah membenci British, tetapi beliau hanya bergabung
secara langsung dengan pasukan Bahaman pada tahun 1892.
Pada tahun 1894, Tok
Gajah memimpin salah satu pasukan melancarkan serangan ke atas kubu British di
Jeram Ampai. Apabila gagal mengekalkan kedudukan di kubu ini, pasukan pejuang
Pahang berundur. Pasukan Tok Gajah bertempur dengan pasukan Britsh di bawah Hugh
Clifford di Hulu Pertang pada 30 Julai 1894. Tok Gajah berjaya memboloskan
diri. Beliau meninggal dunia di Pasir Nering, Kuala Berang, Terengganu pada
tahun 1901 dan dikebumikan di situ.
No comments:
Post a Comment