Wednesday 23 July 2014

Tarian Labi-labi

Tarian Labi-labi dikatakan berasal dari Endau, Rompin dan kemudiannya berkembang ke daerah Pekan dan Kuantan. Bahkan hingga ke hari ini, Tarian Labi-labi merupakan salah satu tarian etnik yang popular dikalangan kumpulan-kumpulan tarian di Negeri Pahang walaupun beberapa pergerakan telah diolah untuk disesuaikan dengan masa dan penonton. 

Sejarah Tarian Labi-labi bermula daripada kisah seorang pengail bernama Pak Ngah. Pada satu hari, Pak Ngah pergi mengail disungai tetapi tidak mendapat seekor ikan pun walaupun umpannya habis. Kemudian, Pak Ngah menggunakan pisang sebagai umpan dan telah menarik perhatian sekumpulan labi-labi. Pergerakan labi-labi yang cuba memakan umpan pisang ini telah memberi idea kepada Pak Ngah untuk membentuk kumpulan Tarian Labi-labi. 
 
Tarian Labi-labi
Berdasarkan tarian asal, terdapat hanya dua orang penari sahaja iaitu watak Pak Ngah dan labi-labi jantan. Namun, watak Mak Ngah dan beberapa ekor labi-labi telah ditambah sesuai dengan perubahan dan kreativiti koreografer. Kostum dalam tarian ini berbentuk labi-labi yang dipasang di atas belakang penari. Watak  Mak Ngah pula memakai baju kebaya lengan panjang dengan kain sarung atau batik manakala, Pak Ngah memakai terendak atau kain ikat kepala dan memegang sebatang kail.  

Alat muzik yang digunakan untuk mengiringi Tarian Labi-labi pada awalnya hanya tetawak dan biola sahaja. Namun, sejajar dengan perkembangan semasa, alat muzik seperti genduk, gedombak, gendang dan serunai telah ditambah bagi memeriahkan lagi persembahan.

Tuesday 22 July 2014

Tarian Ajuk

Tarian Ajuk merupakan salah satu tarian tradisi bagi masyarakat Orang Asli Jah Hut di Kampung Penderas, Temerloh. Tarian ini merupakan satu tarian persembahan hiburan yang tidak mempunyai unsur-unsur pemujaan yang mengaitkan ‘makhluk halus’. Tarian ajuk kebiasaannya dipersembahkan dalam majlis berkhatan, majlis perkahwinan, majlis keramaian serta majlis meraikan pembesar-pembesar yang melawat ke kampung-kampung. 
 
Tarian Ajuk
Bilangan penari bagi tarian ini tidak mempunyai jumlah bilangan yang tetap. Mereka akan menari mengikut lagu-lagu tertentu yang dinyanyikan oleh seorang penyanyi. Kebiasaannya, lagu-lagu dalam tarian ini rancak dan laju mengikut alunan muzik yang dimainkan. Bunga-bunga pergerakan dalam Tarian Ajuk mengikut pergerakan ketua dalam tarian tersebut. Para penari yang terdiri daripada lelaki dan perempuan akan menari mengajuk pergerakan ketua. Tarian ini tiada jangka waktu dan terpulang kepada ketua. Alat muzik untuk tarian ini dibuat  daripada beberapa batang buluh yang dipotong mengikut saiz tertentu.  Pemain akan mengetuk buluh-buluh pelbagai saiz itu di atas papan untuk menghasilkan bunyi dan rentak.

Monday 21 July 2014

Bertandu

Bertandu membawa maksud diusung dengan tandu atau menaiki tandu. Kebiasaanya tandu atau usungan dibuat untuk tujuan memuliakan sultan dan mengelakkan sultan berjalan kaki merempuh semak samun dan sebagainya. 

Pada masa dahulu, jalan perhubungan utama di negeri Pahang adalah sungai. Hal ini telah menyebabkan Sultan Ahmad Al-Mu’adzam Shah melawat sama ada ke hulu Pahang atau tempat-tempat lain dengan menggunakan perahu dan kenderaan air. Oleh itu, penghulu di sesuatu kampung yang hendak dilawati akan menyediakan tandu sebagai kenaikkan diraja melawat kampung mereka. Pembawa tandu terdiri di antara dua hingga enam orang. Di setiap daerah, penghulu bertanggungjawab memilih orang-orang yang akan menjulang atau memikul tandu tersebut. Sultan bersemayam di atas tandu dan diiringi oleh pembesar-pembesar. Namun, penggunaan tandu di Pahang hanya terkenal sehingga zaman pemerintahan Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah (1917-1932 TM) sahaja. Hal ini kerana apabila masuk zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah (1932-1974 TM), tandu sudah tidak digunakan lagi. 
Selain daripada menjadi kenaikkan sultan, tandu juga digunakan untuk mengarak pengantin. Kebiasaanya, kedua mempelai akan duduk di atas tandu. Pada zaman moden, pengubahsuaian dilakukan di mana kerusi telah diletakkan di atas tandu dan kedua pengantin akan duduk diatas kerusi yang dihias indah. Di samping itu, peralatan pengantin seperti sirih junjung, nasi pulut kuning dan peralatan perkahwinan juga diletakkan juga di atas tandu berkenaan. 

Pada tahun 1990, tandu digunakan untuk istiadat perarakan diraja yang diadakan sempena memuliakan Sambutan Ulangtahun Keputeraan Ke-60 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah serta genap 15 tahun pemerintahan baginda. Tandu yang digunakan untuk istiadat perarakan tersebut dikenali dengan nama ‘Seri Buana’. Tandu ini dijulang oleh 60 orang yang juga simbolik kepada 60 tahun usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Friday 18 July 2014

Upacara Mengarok

Berdasarkan Hikayat Pahang, mengarok berasal dari Bugis yang dibawa oleh Bugis dan diketuai oleh seorang panglima bernama Selawatang. Askar-askar ini dibawa oleh Ungku Temenggong Teluk Belanga Singapura ke Pahang untuk membantu Bendahara Sewa Raja Wan Ahmad sebaik sahaja masuk balik ke Pahang bersama Syed Idrus dari Kelantan. Upacara mengarok pertama sekali diadakan ialah di Chenor untuk mengalu-alukan Wan Ahmad diangkat oleh Orang Besar Pahang menjadi Bendahara Pahang bergelar Bendahara Sewa Raja pada 10 Jun 1863. Selepas itu, acara mengarok diadakan dari semasa ke semasa seperti dalam Istiadat Perkahwinan Diraja, Hari Keputeraan, Istiadat Pertabalan Diraja dan apa jua Istiadat Diraja yang diadakan secara besar-besaran seperti Istiadat Berkhatan dan Bertindik dan sebagainya.

Lazimnya, bilangan peserta mengarok terdiri daripada 40 orang lelaki yang dibahagikan kepada dua pasukan dan setiap pasukan mempunyai ketua. Para peserta hendaklah terdiri daripada orang-orang sesama sendiri yang tidak bermusuhan dan bersengketa serta mesti pandai bersilat.  Jika mengarok digunakan untuk majlis perkahwinan, satu pasukan dianggap sebelah pengantin lelaki, manakala sepasukan lagi dianggap sebelah pengantin perempuan. Pasukan pengantin perempuan hendaklah menyediakan beberapa pasukan penunggu di tempat-tempat tertentu. Apabila bertembung dengan pasukan pengantin lelaki, pasukan pengantin perempuan dianggap kalah dan diserap dalam pasukan mengarok sebelah pengantin lelaki. 

Sebelum bertolak atau bermulanya upacara mengarok, doa selamat dibacakan. Kemudian, sambil mara mereka berselawat. Setelah sampai ke tempat yang dituju dan dijanjikan, kedua-dua pasukan mara seperti berperang sambil melaungkan ‘chah, arok’  berkali-kali dan melakukan pencak silat. Apabila kedua-dua pasukan ini bertembung mereka akan mencari lawan dan bergelut sambil bersorak-sorai. Keadaan ini berlaku selama empat hingga lima minit. Apabila tangan yang menghunus keris bersilang, bahu bertemu bahu dan berdiri di atas sebelah kaki (sebelah kaki lagi diangkat seolah-olah sedang menyerang lawan),ia menandakan serangan itu sudah berakhir. Walau bagaimanapun hal ini tidak bererti upacara mengarok sudah berakhir kerana ia diteruskan lagi sehingga beberapa kali mengikut perjanjian. Pasukan mengorak diketuai atau dibarisi dengan panglima yang gagah dan handal. Setiap pertempuran akan didahului oleh mereka yang berjumlah empat hingga lapan orang dan kemudian barulah diikuti oleh pengikut-pengikut yang lain. Kebiasaannya, upacara mengarok berakhir dengan persembahan pencak silat oleh sepasang pendekar. 



 
 

Wednesday 9 July 2014

Kedatangan Islam di Negeri Pahang (2)


Makam Ziarat Raja Raden 
Makam Ziarat Raja Raden dilihat agak penting dalam sejarah dan kebudayaan Islam di Pahang. Makam Ziarat Raja Raden yang terletak di Kampung Tangki Air terdiri daripada dua makam penting. Makam yang pertama adalah makam Raja Fatimah. Terdapat inskripsi yang bertulisan bahasa Melayu dan Arab. Malah terdapat juga panel-panel berbentuk hati yang terdapat pada kemuncak batu nisan itu diisi dengan rangkaian nama-nama Allah seperti ‘Al-Ghafur, ‘Al-Jalil, ‘Al-Aziz, ‘Al-Jamal dan ‘Al-Jalal. Makam yang kedua pula adalah makam Abdul Jalil (Jamil) yang mangkat pada 917 Hijrah bersamaan 1511 Masihi. Ibrahim Alfian (1973) mendapati persamaan kandungan tulisan pada batu nisan Raja Jalil dengan tulisan-tulisan yang terukir pada batu nisan Sultan Mansor Shah, Melaka dan Sultan Malik al-Salleh, Pasai. Kedua-dua makam ini adalah makam-makam raja-raja Pahang dari keturunan Sultan Melaka. Kehadiran batu-batu nisan Aceh itu di Pahang juga dipercayai dibawa dari Melaka kerana pertalian keturunan tersebut.

Makam Condong
Berhampiran dengan Makam Ziarat Raja Raden terdapat satu lagi makam yang dikenali oleh penduduk setempat sebagai Makam Condong. Makam Condong ini menjadi salah satu makam penting kerana ia merupakan testimoni kepada hubungan erat yang pernah terjalin di antara Pahang dan Aceh pada abad ke-17 Masihi. Keberadaan batu-batu nisan ini dicatatkan dalam kitab Bustanu’s-Salatin yang ditulis oleh Sheikh Nuruddun ar-Raniri. Penulisan ini telah mengisahkan bagaimana Sultan Iskandar Thani telah memerintahkan Orang Kaya Maharaja Seri Maharaja, Orang Kaya Laksamana Seri Perdana Menteri dan Orang Kaya Lela Wangsa bertolak ke Pahang untuk meletakkan batu nisan pada makam ayahandanya. Hal ini kerana semasa penaklukan Pahang, Sultan Iskandar Thani telah dibawa lari ke Aceh dan masih berumur tujuh tahun. Oleh yang demikian, baginda telah memerintahkan pembesar-pembesarnya meletakkan batu nisan di makam-makam keluarganya di Pahang. 
Makam Condong

 

Monday 7 July 2014

Kedatangan Islam di Negeri Pahang

Agama merupakan salah satu perkara asas dalam kehidupan manusia. Hal ini telah menyebabkan terdapat kajian berkenaan dengan kedatangan Islam di Negeri Pahang. Antara bukti-bukti awal yang menunjukkan kedatangan Islam di negeri Pahang adalah penemuan batu nisan dan makam. Tarikh yang terpahat pada sesuatu batu nisan itu boleh digunakan untuk menyatakan tarikh kedatangan Islam ke sesuatu tempat. Terdapat beberapa batu nisan yang boleh dilihat sebagai bukti kedatangan Islam.

Batu Nisan Kampung Permatang Pasir 
Berdasarkan catatan, negeri Pahang bukanlah negeri pertama yang menerima kedatangan Islam. Namun, penemuan batu nisan di Kampung Permatang Pasir telah menunjukkan adanya kedatangan Islam di negeri tersebut. Malah tarikh yang tercatat pada batu nisan tersebut iaitu 410 Hijrah bersamaan 1028 Masihi, iaitu lebih awal daripada batu bersurat Terengganu yang bertarikh 702 Hijrah bersamaan 1303 Masihi. Menurut Othman Yatim (1997),perkara ini bukanlah mustahil kerana sejak akhir ke-9 Masihi lagi sudah ada pedagang Islam yang menggunakan Selat Melaka dan Laut China Selatan dalam perjalanan ke China. Malah, beliau juga menyatakan bahawa batu nisan Permatang Pasir ini hanya dapat menandakan kedatangan Islam tetapi tidak dapat mengaitkannya dengan perkembangan Islam ke Pahang.


Batu Nisan Kampung Permatang Pasir

Batu Nisan Sultan Mahmud Shah 1
Batu Nisan Sultan Mahmud Shah 1 terletak di Dusun Pinang, Pahang Tua, Pekan, Pahang. Linehan (1936) mentafsirkan tulisan yang terpahat pada batu nisan ini sebagai menandakan makam Sultan Muhamad Shah I, iaitu Sultan Pahang pertama dari keturunan Kesultanan Melayu Melaka. Sultan Muhamad telah dihalau ke Pahang kerana membunuh anak bendahara. Sementara itu, Wilkinson (1932) pula berpendapat makam itu adalah makam Raja Ahmad, putera sulung Sultan Mansor Shah Melaka dengan isterinya dari Pahang bernama Puteri Wanang Sri. Bagi Othman Yatim (1997) batu nisan ini agak penting bukan sahaja kepada negeri Pahang tetapi juga kepada Malaysia secara keseluruhannya kerana ia dipercayai merupakan batu Aceh yang tertua di Tanah Melayu. Batu Aceh merupakan sejenis batu nisan yang banyak digunakan untuk menandakan makam raja-raja dan pembesar-pembesar Melayu sejak kurun ke-13  hingga kurun ke-19 Masihi dan ia dipercayai batu ini diimport dari Aceh.