![]() |
Pawang Nong Taib bin Santan |
Pawang Nong Taib, anak
Santan bin Husin dengan Boi binti Bakar adalah pejuang Pahang. Beliau terlibat
dalam gerakan menentang Jepun dan Komunis. Pawang Nong dilahirkan di Kampung
Sempiat, Mukim Tanjung Besar, Kuala Lipis, Pahang pada tahun 1874.
Ketika
pendudukan Jepun, 1942-1945, Pawang Nong mengarahkan penduduk Kampung Hulu
Cheka jangan mematuhi perintah Jepun menyerahkan semua lebihan padi, sebaliknya
menyerahkan 15-20 gantang sahaja. Lebihan padi disimpan di tepi hutan untuk
mengelakkan daripada di kesan pemerintah Jepun.
Pawang Nong membantu pasukan
136 di bawah pimpinan Golden berlindung di Sekolah Kebangsaan Hulu Cheka.
Pawang Nong juga memainkan peranan menentang komunis di kampungnya. Beliau
bersama 40 orang membantu pasukan tentera yang terdiri daripada 8 orang di
bawah pimpinan Leftenan Adnan bertempur dengan Komunis di Kampung Perlok.
Selain itu Pawang Nong bersama pasukannya membuat rondaan dengan mengesan
komunis. Di atas jasanya, Pawang Nong dianugerahkan bintang Ahli Mangku Negara
(AMN) dan Pingat Jaksa Kebaktian (PJK). Pawang Nong menunaikan fardu Haji pada
tahun 1957. Beliau terus berkhidmat sebagai bomoh sehingga meninggal dunia pada
hari Jumaat, 12 November 1976.
Jeneral (B) Tan Sri Haji Abdul Hamid bin Bidin
![]() |
Jeneral (B) Tan Sri Haji Abdul Hamid bin Bidin |
Abdul Hamid bin Bidin dilahirkan
pada 1 Julai 1918, di Kampung Pianggu, Endau Rompin, Pahang Darul Makmur.
Beliau telah mencatatkan rekod sebagai anggota tentera pangkat biasa yang
pertama berjaya menjadi Panglima Angkatan Tentera. Beliau merupakan Panglima
Angkatan Tentera Malaysia ke-2 (November 1969- Jun
1970) menggantikan Jeneral (B) Tunku Tan Sri Haji Osman bin Tunku Md. Jewa.
Beliau memulakan penglibatan dalam bidang ketenteraan pada 1 Ogos 1939 apabila
mengikuti latihan rekrut selama 6 bulan di Port Dickson.
Jeneral Hamid menjadi
penduduk tempatan pertama menjadi Edikong (pengiring) Pesuruhjaya Tinggi
British, Sir Henry Gurney pada 1950. Beliau juga telah diberi penghormatan
untuk memerintah Briged Ketiga di Congo dalam Pasukan Pengaman PBB dari 10 Mac
1961 – 28 Mac 1962. Selepas itu, Jeneral Hamid telah dinaikkan pangkat sehingga
Mejar Jeneral dan memegang jawatan Ketua Turus Tentera Darat. Beliau
kemudiannya dinaikkan pangkat lagi kepada Leftenan General (7 Julai 1966) dan
akhirnya Jeneral (1 Julai 1968).
No comments:
Post a Comment