Dusun Pinang
Dusun Pinang yang letaknya di antara Tanjung Pahang Tua (Air Berbagi) di
sebelah hulu dengan Kampung Lamir di sebelah hilir adalah sebuah kampong tua
dalam mukim Pahang Tua daerah Pekan. Ia mendapat nama demikian, kerana pada
zaman dahulu, di sana banyak terdapat pokok pinang.
Kampung ini adalah sebuah kampung yang bersejarah kerana
ia dipercayai sebagai tempat tinggal Pembesar Siam pada mula Indera Pura
(Pahang) ditakluk Siam pada penghujung kurun ke 14. Akan tetapi setakat yang
diketahui, tiada bekas Siam yang dijumpai sebagaimana yang terdapat di Tanjung Langgar.
Walaupun sekiranya Pembesar Siam tidak tinggal di sana, Dusun
Pinang tetap bersejarah. Ini ialah kerana Raja Muhammad putera Sultan Mansur
Syah Melaka yang dilantik sebagai Raja Pahang, dalam tahun 1470 bersemayam di
sana. Raja Muhammad di hantar ke Pahang di atas kesalahannya membunuh Tun Besar
anak Bendahara Melaka disebabkan sepak raga yang disepak oleh Tun Besar menimpa
ulunya. Raja Muhammad yang ditabal sebagai Sultan Muhammad Shah mangkat pada
17hb September 1475. Jenazah baginda disemadikan di Dusun Pinang.
Tentang perkara ini W.Linehan di dalam Sejarah Pahang JMBRAS,
XIV. PT.11 May 1936, menulis seperti berikut:
"The events of this period are obscure. There is reason to believe thah Raja Ahmad, the elder brother of the newly appointed Sultan of Pahang, who also had been passed over for the succession to the Malacca throne as a consolation was installed heir to the Pahang Sultan by his father in Malacca and proceeded to that country between the years 1470 to 1475."
Pada masa ini Dusun
Pinang dijadikan kawasan Pam Air yang menyedut air dari Sungai Pahang Tua untuk
mengairkan Paya Pahang Tua/Langgar. Semasa membesarkan kawasan Pam Air itu dua
pasang nesan batu ditemui orang. Nesan-nesan itu dipercayai daripada dua buah
kubur pembesar-pembesar yang mengiring Sultan Muhammad dari Melaka. Nesan-nesan
itu dipindahkan ke tanah perkuburan Tanjung Johar dekat Tanjung Pahang Tua.
Mujurlah makam Almarhum Sultan Muhammad tidak terlibat sama.
Kalau terlibat sama tentulah sukar mendapatkan tanda yang menyatakan bahawa
Dusun Pinang pernah jadi tapak Istana Sultan. Sebagai menghormati makam yang
bersejarah itu maka pihak Muzium Negara telah memelihara kawasan itu dan
meninggikan tempat nesan-nesan itu untuk mengelakkan dari banjir.
Pada masa ini Makam Almarhum Sultan Muhammad Shah telah jadi satu tarikan kepada ahli-ahli sejarah tanah air.
Sumber :
Zakaria Hitam. (1989). Asal Usul Nama Tempat Bersejarah Negeri Pahang Darul Makmur (Bahagian Pertama).
Pekan : Lembaga Muzium Negeri Pahang
No comments:
Post a Comment