![]() |
Tanjak Bunga Tak Balik |
Tanjak atau Tengkolok ialah sejenis pakaian harian orang Melayu di zaman
purba. Pada masa kini, tanjak digunakan untuk pakaian tertentu oleh orang-orang
tertentu dan lazimnya di kalangan golongan istana sahaja. Dipercayai bahawa tanjak ini
berasal dari Nusantara kerana Negeri Pahang pernah diperintah oleh Empayar
Johor-Riau-Lingga dan mempunyai hubungan yang baik dengan Minangkabau dan
Bugis. Hal ini telah mengukuhkan bahawa tanjak dibawa dari rantau ini.
![]() |
Tanjak Helang Menyusung Angin |
Terdapat
pelbagai jenis tanjak berdasarkan rekabentuk dan kaedah mengikat. Sebelum
tanjak dibentuk, kain tanjak tersebut perlu digerus terlebih dahulu dengan menggunakan siput gerus agar kain
tersebut licin dan berkilat. Gerus ini boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu
gerus mentah dan gerus masak. Kain yang menggunakan kaedah gerus mentah tidak
dikanji terlebih dahulu manakala kain yang menggunakan kaedah gerus masak
kainnya dikanji terlebih dahulu. Terdapat beberapa jenis kain sahaja yang dikhaskan
untuk membuat tanjak iaitu Kain Songket, Kain Bugis, Kain Benang Halus, dan
Batik Jawa. Tanjak ini hanya dipakai di majlis-majlis rasmi seperti di Majlis
Adat Istiadat Di Raja, di Balairong Seri, Istiadat di Balai, di Istiadat
Meletak Kerja atau di Majlis-majlis Perkahwinan Di Raja.
Antara jenis
tanjak yang terdapat di Negeri Pahang ialah Tanjak Sunda Menggamit yang dipakai
oleh Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu’adzam Shah. Tanjak Bugis Tak Balik pula
sering dipakai oleh Al-Marhum Sultan Mahmud manakala Tanjak Helang Menyunsung
Angin dipakai oleh Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah. Semasa
pemerintahan Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah,
kebanyakkan golongan istana memakai Tanjak Sekelungsung Bunga yang mana warna
kain tanjak tersebut sahaja yang membezakan kedudukan si pemakai. Tanjak yang
berwarna kuning untuk Sultan, hitam untuk Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara
Pahang, biru untuk Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong Pahang dan merah
untuk Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang. Namun, Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah memakai kembali
Tanjak Helang Menyunsung Angin yang pernah dipakai oleh Al-Marhum Sultan
Abdullah Al-Mu’tassim Billah.
Sumber : Sariah Shafie. 1987. Tanjak Pahang dalam Pahang Dalam
Sejarah.
Pekan: Lembaga Muzium Negeri
Pahang.
Koleksi
Gambar Lembaga Muzium Negeri Pahang
No comments:
Post a Comment