
Pada masa dahulu, jalan perhubungan utama di negeri Pahang adalah
sungai. Hal ini telah menyebabkan Sultan Ahmad Al-Mu’adzam Shah melawat sama
ada ke hulu Pahang atau tempat-tempat lain dengan menggunakan perahu dan
kenderaan air. Oleh itu, penghulu di sesuatu kampung yang hendak dilawati akan
menyediakan tandu sebagai kenaikkan diraja melawat kampung mereka. Pembawa
tandu terdiri di antara dua hingga enam orang. Di setiap daerah, penghulu bertanggungjawab
memilih orang-orang yang akan menjulang atau memikul tandu tersebut. Sultan
bersemayam di atas tandu dan diiringi oleh pembesar-pembesar. Namun, penggunaan
tandu di Pahang hanya terkenal sehingga zaman pemerintahan Sultan Abdullah Al-Mu’tassim
Billah (1917-1932 TM) sahaja. Hal ini kerana apabila masuk zaman pemerintahan Sultan
Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah (1932-1974 TM), tandu sudah tidak digunakan
lagi.

Pada tahun 1990,
tandu digunakan untuk istiadat perarakan diraja yang diadakan sempena
memuliakan Sambutan Ulangtahun Keputeraan Ke-60 Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah serta genap 15 tahun
pemerintahan baginda. Tandu yang digunakan untuk istiadat perarakan tersebut
dikenali dengan nama ‘Seri Buana’. Tandu ini dijulang oleh 60 orang yang juga
simbolik kepada 60 tahun usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
No comments:
Post a Comment